SweetMuslimah.com

Jumaat, 7 Mei 2010

Pertahankan imej raja-raja Melayu daripada tercemar

JELEBU 6 Mei - Institusi raja dan media Melayu disaran memainkan peranan masing-masing dengan sebaik-baiknya agar masalah dalaman istana tidak menjadi isu panas yang mengakibatkan tercemarnya imej raja-raja Melayu itu sendiri.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berpendapat, peristiwa yang mengaibkan raja-raja Melayu yang sedang hangat dipaparkan dalam akhbar diibaratkan seperti 'menjual roti canai atau rojak'.

"Sepatutnya ada kewibawaan kita bagi mengehadkan cerita-cerita ini supaya dilunaskan dan diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab.

"Tetapi malang, cerita-cerita ini misalnya seperti yang berlaku di Kelantan sudah jadi topik panas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Jelebu 2010 di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu memberitahu, paparan berita seperti ini bukan sahaja akan menyebabkan orang Melayu rugi malah lebih mendukacitakan akhbar Melayu sendiri yang menjadi juara isu-isu ini.

Justeru jelas beliau, kedua-dua pihak harus faham peranan masing-masing dengan menjaga imej mereka dan media perlu menjadi pengawal kepada perlembagaan dan juga penerus kepada perjuangan.

"Dalam soal ini, kedua-dua pihak harus memainkan peranan tetapi mereka yang berada dalam institusi itu perlu jaga rumah kaca mereka sendiri selain dari kita yang menjadi pengawal kepada perlembagaan dan juga penerus kepada perjuangan," katanya.

Justeru katanya, hanya UMNO sahaja yang mampu memainkan peranan dalam memastikan isu-isu yang boleh melemahkan agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan institusi raja-raja Melayu ditangani.

"Namun keadaan itu tidak berlaku sekarang kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan menjadi juara dalam menyuarakan isu berkaitan orang Melayu .

"Kitalah sepatutnya menerangkan kepada khalayak bahawa 1Malaysia bukan bererti menjual apa pun hak Melayu kepada mana-mana pihak." katanya.

Tegas beliau, konsep 1Malaysia yang digagaskan tidak akan menyebabkan hak orang Melayu terhakis kerana jaminan ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

sumber:
Utusan Malaysia
07 Mei 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Doaku Harapanku...

LinkWithin

SweetMuslimah.com