SweetMuslimah.com

Jumaat, 12 Februari 2010

Hotel dasar laut DUBAI











JIKA pakej melancong ke angkasa hanya layak untuk golongan yang ‘super kaya’, dasar laut mungkin menyediakan lebih peluang untuk manusia menikmati percutian dengan gaya berbeza. Tanpa perlu membasahkan diri dan memikul kelengkapan menyelam, segala keindahan hidupan laut akan berada di depan mata tidak lama lagi dengan pembukaan Poseidon Undersea Resort di Fiji.Apabila siap resort bertaraf lima bintang yang dibangunkan di sebuah pulau persendirian itu akan menjadi resort bawah laut mewah pertama di dunia.
Idea pembinaan resort yang berada pada kedalaman 13 meter itu diilhamkan oleh Bruce Jones yang menggunakan pengalamannya selama 17 tahun dalam kejuruteraan dan penghasilan kapal selam peribadi. Walaupun projek yang menelan kos melebihi RM367 juta itu masih di peringkat pembangunan, pihak resort sudah menerima tempahan percutian melalui pakej yang ditawarkan.

Berdasarkan laman web Poseidon, pakej penginapan selama seminggu itu kini dijual pada harga RM52,000 termasuk penginapan dua malam di bilik bawah laut (Undersea Suites) yang merupakan kemuncak percutian di resort itu. Tempoh selebihnya boleh dihabiskan dengan memilih dua kategori penginapan iaitu resort di permukaan laut atau salah satu daripada resort di atas tapak resort yang berkeluasan 91 hektar.

Dari lobi hotel yang terletak di permukaan laut, perjalanan tetamu ke rangkaian 24 bilik berbentuk kapsul di dasar laut itu dihubungkan dengan lif yang ditempatkan di kedua-dua belah laluan jetinya.

Setiap bilik dilengkapi dengan dinding akrilik yang menyediakan kira-kira 60 peratus pemandangan telus kepada alam laut yang selama ini hanya boleh disaksikan oleh penyelam skuba.

Tetamu juga tidak perlu risau untuk menghadapi tekanan di bawah permukaan air kerana resort ini juga dilengkapi teknologi nyah tekanan yang diuruskan secara sistematik.

Dikelilingi perabot dan hamparan marmar terbaik, bayangkan panorama yang berbeza apabila sekumpulan ikan lumba-lumba, pari dan jerung melintasi jendela bilik dengan susunan terumbu karang pelbagai warna.

Keselesaan bilik dipertingkatkan dengan pencahayaan yang boleh dikawal dan dikatakan mampu menarik perhatian hidupan laut terutama pada waktu malam.

Walaupun dikelilingi air, keinginan kepada sentuhan dan belaian air tidak diketepikan kerana setiap bilik dilengkapi jakuzi persendirian.

Jika Jules Undersea Lodge di Florida Amerika Syarikat hanya menawarkan percutian di dalam bilik, di Poseidon tetamu boleh menikmati ruang legar resort yang cukup luas.

Melalui percutian ini pelanggan boleh memilih beberapa pakej menaiki kapal selam dan pergi lebih jauh ke dasar laut. Empat buah kapal selam Triton disediakan bagi yang ingin menyahut cabaran kedalaman sehingga 300 meter ataupun bersiar lebih cetek dengan kapal selam rekreasi yang boleh memuatkan sehingga 16 penumpang di sekitar kawasan lagun. Bagi yang datang untuk menikmati pengalaman romantik, pilihan tempat makan malam tersedia di enam restoran bawah laut termasuk tujuh buah bar. Kemudahan asas termasuk perpustakaan, teater, bilik persidangan dan tempat perkahwinan.

Untuk kepuasan maksimum, tempahan penginapan di Nautilus Suite adalah pilihan yang terbaik dan menjadikan pelanggan raja di resort tersebut. Bilik paling mewah dengan keluasan 305 meter. Tetamu boleh melakukan pelbagai aktiviti luar seperti kayak, luncur angin, snorkeling, parasailing dan juga pakej pelayaran. Di sekitar kawasan resort, sembilan buah gua batu kapur juga menanti pengunjung untuk diterokai. Kemudahan lain termasuk padang golf sembilan lubang, gelanggang tenis, kolam renang dan pusat kesihatan.

sumber:utusan malaysia 26/12/2009


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Doaku Harapanku...

LinkWithin

SweetMuslimah.com